Dakwaan Sogokan Dalam Perolehan, Pendaftaran Vaksin Moderna Tidak Berasas – KKM

Dakwaan Sogokan Dalam Perolehan, Pendaftaran Vaksin Moderna Tidak Berasas – KKM

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyangkal dakwaan tidak berasas bahawa perolehan vaksin COVID-19 jenis Moderna dan pendaftarannya tidak dibuat kerana sogokan yang mencukupi tidak diberikan.

Merujuk kepada dakwaan sogokan dalam proses perolehan vaksin COVID-19 yang dibangkitkan oleh pengamal perubatan swasta Dr Musa Nordin , KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perbincangan bagi perolehan vaksin jenis Moderna telah diadakan dengan syarikat pengeluarnya ModernaTX Inc pada penghujung 2020.

Namun disebabkan tawaran penghantaran vaksin Moderna itu hanya dapat dibuat pada suku ketiga 2021, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah membuat keputusan agar perolehan perlu dibuat dengan pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin COVID-19 lebih awal bagi
mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, katanya.

KKM berkata pihak ModernaTX juga hanya mengemukakan pendaftaran ke Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) pada Julai tahun ini (2021) melalui syarikat lantikannya.

Selasa lepas, Dr Musa mendakwa JKJAV tidak membuat perolehan vaksin Moderna dan NPRA masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi.

KKM yang memandang serius dakwaan tersebut akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

KKM berkata kerajaan akan membuat keputusan keperluan vaksin Moderna sebaik sahaja vaksin tersebut diluluskan pendaftarannya oleh NPRA termasuklah penggunaannya sebagai dos penggalak atau secara heterologi.

“Kerajaan telahpun mempunyai portfolio dan jumlah dos yang mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia,” katanya.

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-362 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana produk Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection COVID-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified) dari pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

Produk Spikevax itu juga dikenali sebagai vaksin COVID-19 Moderna.

– BERNAMA