JEMPOL, NEGERI SEMBILAN – Seorang buruh sekali lagi ditangkap atas kesalahan jenayah yang sama iaitu menjual air ketum di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook yang dipetik Harian Metro berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu diberkas kediamannya di Felda Lui Selatan Dua di sini, diserbu polis jam 2.30 petang semalam.
Menurutnya, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan itu dilakukan di stor rumah suspek yang bergiat aktif sebagai `chef’ rebusan air khayal itu..
“Ketika serbuan dilakukan, suspek sedang leka membungkus air ketum. Suspek memaklumkan daun ketum itu diperolehi dari pokok di tanam di belakang rumahnya…
“Suspek juga turut mencampurkan air ketum dengan ubat batuk yang dibeli dari sebuah farmasi di Kuala Pilah,” katanya.
Chang Hook berkata, polis merampas 12 bungkus air ketum bernilai RM720 dan 44 botol ubat batuk seberat 90 mililiter.
Turut dirampas adalah tong plastik, beg galas, tong gas, dapur memasak, alat penapis dan pelbagai barangan lain digunakan untuk merebus air ketum.
“Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.