DBP Lancarkan Pelan Antirasuah 2021-2025

DBP Lancarkan Pelan Antirasuah 2021-2025

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam telah melancarkan Pelan Antirasuah DBP 2021-2025, dengan menumpukan kepada EMPAT (4) bidang keutamaan, iaitu Pengurusan Kewangan, Tadbir Urus, Pengurusan Bahasa, Sastera dan Penerbitan, Serta Khidmat Pengurusan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata, pelan itu membuktikan pendirian dan kejituan semangat pihak pengurusan tertinggi DBP dalam meningkatkan keutuhan dan keberkesanan tadbir urus organisasi berkenaan.

Memetik laporan Bernama, ianya juga selaras saranan kerajaan mewajibkan badan berkanun untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), masing-masing.

“Pelan Antirasuah Organisasi diperkenalkan sebagai inisiatif mandatori di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, melalui Strategi 2, iaitu memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan juga Strategi 6 iaitu memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelan Antirasuah DBP 2021-2025, yang diadakan secara maya semalam.

Mohd Zuki juga berharap, pencapaian ini dapat dijadikan sumber inspirasi dan perangsang kepada agensi kerajaan lain untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing dalam membendung kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, berkata pelancaran pelan itu adalah penting untuk masa depan DBP.

“Pelan ini jadi menjadi galakan untuk memastikan budaya kerja di DBP berasaskan integriti dan menjadikan rasuah antara musuh utama bagi mengekalkan kesejahteraan negara dan organisasi khususnya,” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata pelan itu alat pengurusan yang berkesan dan boleh dijadikan panduan dalam menguruskan isu rasuah secara sistematik.

“Hal ini sekali gus dapat memudahkan pihak Lembaga Pengelola DBP untuk memantau tadbir urus yang dilaksanakan oleh pengurusan DBP,” katanya.

Pelan yang meliputi empat bidang keutamaan, empat strategi, tujuh objektif strategik dan 42 insiatif jangka masa pendek dan panjang itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sepanjang 2021 hingga 2025.