Trump Dakwa Ali Khamenei Terkorban, Tapi Iran Nafi Laporan

Trump Dakwa Ali Khamenei Terkorban, Tapi Iran Nafi Laporan

0
SHARE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei terkorban dalam serangan ketenteraan dilancarkan Washington bersama Israel menerusi Operasi Epic Fury pada Sabtu.

Trump membuat dakwaan itu menerusi hantaran di platform Truth Social dengan menyatakan Ali Khamenei tidak dapat mengelak daripada sistem risikan dan pengesanan canggih AS.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai peluang kepada rakyat Iran untuk “merampas kembali negara mereka”, namun tidak mengemukakan sebarang bukti bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Dalam kenyataan sama, Trump turut mendakwa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta pasukan keselamatan Iran tidak lagi mahu berperang dan menyatakan kesediaan untuk memberikan imuniti kepada mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sebarang hasrat untuk menghentikan kempen serangan tersebut.

Berita mengenai kematian Ali Khamenei setakat ini hanya disiarkan oleh beberapa media Barat dan Israel.

Media Israel turut mendakwa sekurang-kurangnya tujuh pegawai kanan Iran, termasuk Ketua IRGC, Jeneral Mohammad Pakpour, terbunuh dalam serangan berkenaan.

Manakala, media Iran pula melaporkan Ali Khamenei terselamat daripada serangan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Situasi berkenaan masih belum dapat disahkan secara bebas setakat ini.