
KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyertai kira-kira 1,500 jemaah dalam Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang dekat sini, pada Jumaat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin diketuai oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting disusuli bacaan doa selamat dan kesyukuran bersempena ulang tahun kelahiran rasmi Ke-71 Tun Juhar.
Bungsu seterusnya menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk “Amanah Di Jaga, Keharmonian Terpelihara” sebelum menunaikan Solat Jumaat dan solat hajat dua rakaat bersama para jemaah yang dipimpin oleh Suhaidi.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya; Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.
Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jumain Abdul Ghani selaku pengerusi jawatankuasa pelaksana majlis. — JABATAN PENERANGAN SABAH





