KUALA LUMPUR – Setiap rumah tangga yang didirikan pasti akan bertambah indah dengan kehadiran cahaya mata, namun ada yang menanti bertahun-tahun lamanya untuk mendapat rezeki zuriat.
Demikian kisah penantian sepasang suami isteri yang berakhir pada ulang tahun mereka yang ke-10 pada 20 November apabila Umi Nazrah Md Nor, 35, disahkan hamil.
Ketika mendengar khabar baik tersebut, suaminya, Muhammad NorHezri Baharudin, 35, menjerit riang dan terus bersujud syukur.
Sebelum anak mereka yang dinamakan Uzair As Siddiq dilahirkan pada 27 Jun 2020, NorHezri berkata mereka sempat bercuti di Sabah dan isteri tidak menunjukkan sebarang tanda hamil selain cepat lapar serta lidahnya tidak dapat merasa makanan masam.
“Apabila pulang, isteri dilihat seperti demam dan sempat membuat ujian kehamilan namun keputusan tidak jelas. Saya membawanya ke klinik sebelum doktor sahkan isteri hamil sembilan minggu…
“Saya bersyukur apabila dimaklumkan kandungan berada dalam keadaan baik kerana sepanjang berada di Sabah, isteri banyak bergerak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dia bagaimanapun mengakui bahawa mereka tidak terlalu berusaha untuk memperoleh zuriat pada lima tahun pertama perkahwinan kerana menganggap masih belum diberikan rezeki.
Selepas lima tahun, barulah mereka berjumpa doktor sebelum mendapati si isteri mengalami masalah hormon dan kitaran haid yang menyebabkan peluang untuk hamil sangat tipis.
Walaupun begitu, pasangan itu tekad untuk melakukan pelbagai usaha menerusi kaedah perubatan moden dan tradisional.
“Kami pernah mencuba rawatan kesuburan inseminasi intrauterin (IUI) pada 2016 namun gagal hingga doktor maklumkan usaha untuk memperoleh zuriat agak mustahil.
“Tidak berputus asa, kami berikhtiar dengan rawatan alternatif seperti berurut, minum herba, menjalani perubatan Islam dan sebagainya asalkan tidak bertentangan dengan agama.
“Saya berpegang dengan kata-kata seorang doktor bahawa selagi mempunyai rahim, peluang untuk hamil masih ada,” kata NorHezri.
Dia juga menceritakan pengalaman menghadapi pelbagai dugaan dan ujian sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, mereka pernah dituduh mati pucuk dan mandul selain dianggap mempunyai masalah rumah tangga yang mengakibatkan mereka tertekan ketika berdepan dengan orang…
Sampai satu tahap, mereka mula merancang untuk mengambil anak angkat.
“Pada masa sama saya membuka pusat tahfiz dan mengambil 20 pelajar yang dijaga seperti anak sendiri. Saya meminta dipanggil Abi dan isteri, ibu.
“Selain itu, kami sedekahkan makanan di masjid berhampiran pada setiap Jumaat. Di kotak makanan, kami tinggalkan nota meminta mereka mendoakan kami diberikan zuriat,” katanya.
Dia turut memelihara kucing dan sering meminta orang lebih berusia mendoakan supaya diberikan zuriat.
“Saya sentiasa beristighfar dan berdoa kepada Allah supaya diberi peluang menjadi seorang ayah suatu hari nanti. Ketika ini kami sudah reda dengan ketentuan Allah.
“Alhamdulillah, selepas pelbagai usaha dengan izin Allah, saya dan isteri diberikan rezeki anak selepas 10 tahun berkahwin,” katanya.





