KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membuka laluan kepada pelbagai kolaborasi strategik antara kedua-dua belah pihak untuk manfaat komuniti di Sabah.
Kerjasama yang terjalin ini akan menyokong usaha UMS dan PERKESO untuk memperluaskan kemudahan rehabilitasi di Sabah menerusi penyediaan kemudahan tersebut di Hospital UMS.
Usaha murni ini dilihat bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada Orang Berinsurans (OB) di bawah PERKESO, malah kepada seluruh masyarakat setempat untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi di kampus UMS.
MoU ini telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang turut menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMS.
Ia disaksikan dan ditandatangani oleh Datuk Dr. Hafez Hussain, Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak dan Luqman Ridha Anwar selaku Pendaftar UMS.
Selain itu, pemeteraian MoU ini juga akan merintis kolaborasi dua hala dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang khususnya perubatan rehabilitasi, intervensi neurologi, kesihatan mental, kemahiran kesihatan bersekutu, intervensi robotik, latihan vokasional, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan hilang upaya serta program Return to Work (RTW) PERKESO.
Kerjasama strategik ini membolehkan UMS dan PERKESO memperluaskan lagi penyampaian perkhidmatan menerusi bidang kepakaran masing-masing. Menurut Prof. Madya Dr. Raman, UMS dan PERKESO komited dalam mempromosi, meningkatkan kesedaran serta menambah baik akses kepada rawatan rehabilitasi yang berkualiti khususnya di Negeri Di Bawah Bayu ini.
“Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberikan impak yang signifikan terutamanya dalam menangani masalah utama mendapatkan rawatan rehabilitasi iaitu tanggungan kos rawatan pesakit. Dengan wujudnya pembiayaan melalui skim-skim yang ditawarkan oleh pihak PERKESO, capaian pesakit di Hospital UMS akan bertambah luas.” ucap beliau.
Sementara itu, Dr. Mohammed Azman berkata MoU di antara PERKESO dan UMS ini akan memberi sinar baharu kepada para pencarum PERKESO yang mengalami kemalangan atau penyakit khususnya di Sabah, menerusi program rehabilitasi dan pengurusan hilang upaya yang komprehensif dan dinamik.
“Sejak program RTW diperkenalkan pada 2007 hingga 16 September 2022, seramai 49,851 orang peserta RTW telah berjaya dibantu untuk kembali semula ke alam pekerjaan. Kami yakin bahawa kerjasama dengan UMS ini akan dapat membantu lebih ramai pencarum untuk berdikari dan kembali produktif,” menurut beliau.
Selain itu menerusi kerjasama dua-hala ini juga, PERKESO berhasrat untuk membangunkan sebuah Pusat Satelit MYFutureJobs di kampus UMS agar para siswazah dan graduan UMS memperoleh manfaat daripada pelbagai perkhidmatan pekerjaan PERKESO seperti kaunseling kerjaya, pencarian dan padanan pekerjaan serta sokongan individu bagi penempatan pekerjaan termasuklah persiapan temu duga.