Wanita GRS Seru NGO, Syarikat Tampil Bantu Asnaf

Wanita GRS Seru NGO, Syarikat Tampil Bantu Asnaf

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 asnaf dalam satu program kebajikan sempena Ramadan di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan.

Sumbangan disampaikan Ketua Wanita GRS, Azizah Mohd Dun, yang menegaskan komitmen berterusan pihaknya membantu golongan memerlukan terutama dalam suasana kos sara hidup yang mencabar.

“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti. Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir. Bantuan ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut menyeru syarikat swasta, NGO dan GLC supaya tampil menghulurkan bantuan secara berterusan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Selain menyumbang dalam bentuk kewangan atau barangan, syarikat termasuk GLC digalakkan memperbanyakkan program CSR yang bersifat berterusan agar amalan kebajikan ini menjadi budaya dan bukan sekadar bermusim.

“Bantuan syarikat korporat dan badan bukan kerajaan bukan sahaja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah meringankan beban kerajaan,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Wanita GRS Salmah Sait, Timbalan Bendahari Datuk Surinam Sadikun dan Ketua Penerangan Datin Belynda Buntot.

Dalam majlis sama, Azizah menyerahkan bakul makanan kepada wakil Parlimen Beaufort, Sipitang dan Kimanis, manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan serta Perkumpulan Perempuan Sabah.