WHO Isytihar Pandemik COVID-19 Telah Tamat

WHO Isytihar Pandemik COVID-19 Telah Tamat

0
SHARE
Tedros
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus ( Sumber Foto: Gambar Google )

GENEVA – Pandemik COVID-19, yang selama lebih tiga tahun telah membunuh berjuta-juta individu selain menimbulkan kekacauan ekonomi dan ketidaksamaan, tidak lagi menjadi kecemasan kesihatan global.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat pengumuman itu semalam.

Beliau berkata langkah itu dibuat selepas jawatankuasa kecemasan bebas WHO mengenai krisis Covid bersetuju semasa mesyuarat ke-15 pada hari Khamis bahawa krisis itu tidak lagi memenuhi tahap kewaspadaan tertinggi organisasi itu.

“Tetapi, keputusan itu tidak bermakna bahaya telah berakhir. Status kecemasan boleh dikembalikan semula jika keadaan berubah.

“Seluruh dunia, penyakit itu telah secara rasmi meragut lebih daripada 6.9 juta nyawa pada 3 Mei, dan menjangkiti lebih daripada 765 juta yang lain. Angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi,” katanya

Tedros memberi amaran bahawa usaha ujian dan pengesanan telah menurun dengan ketara di seluruh dunia namun menjadikannya lebih sukar untuk mengesan varian yang baharu.

Vaksin, yang dibangunkan pada kelajuan rekod dan mula dilancarkan menjelang akhir 2020, kekal berkesan dalam mencegah penyakit dan kematian yang teruk walaupun terdapat varian COVID-19 baharu dan lebih menular yang telah muncul.

Walaupun tidak dapat dinafikan ia satu pencapaian saintifik yang tinggi, vaksin juga mendedahkan ketamakan dan ketidaksamaan.

Ketika negara-negara kaya sudah melebihi dos, negara-negara miskin dibiarkan bergelut selama berbulan-bulan untuk mendapatkan satu dos.

Pergerakan antivaks melalui media sosial sementara itu menjadikan vaksinasi sebagai isu politik yang didakwa menyebabkan ramai yang menghidap penyakit atau mati.

Sehingga hari ini, kemunculan varian baharu terus mengancam untuk menmulakan semula kecemasan dunia.