Yang Di-Pertuan Agong Zahir Rasa Kecewa Perkembangan Politik Semasa, Perkenan Bubar Parlimen

Yang Di-Pertuan Agong Zahir Rasa Kecewa Perkembangan Politik Semasa, Perkenan Bubar Parlimen

0
SHARE
Sumber Foto; FB Istana Negara...

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata susulan itu, Al-Sultan Abdullah
tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah juga memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

“Seri Paduka menegaskan negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya…

“Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Sementara itu, mengulas berhubung permohonan untuk membubarkan parlimen, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Negara, pada jam 12 tengah hari semalam.

“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras
dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang
termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen
ke-14,” katanya.