PENAMPANG, SABAH – Suspek kes bunuh di luar sebuah pusat hiburan di Penampang Baru sini 10 hari lalu berjaya diberkas di Limbang, Sarawak.
Kerjasama antara Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Limbang membawa kepada tangkapan, Kaw Yung Tze, 34, di sebuah hotel pada jam lebih kurang 11 semalam.
Dalam pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Limbang, Supt. Parum Niot mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang dan BSJD IPD Limbang di atas kejayaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim dalam sebuah kenyataan berkata, suspek telah dibawa balik ke IPD Penampang untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu pada jam 3 pagi, 4 Januari (Selasa) lalu, rakaman CCTV telah menunjukkan suspek menikam seorang mangsa 29 tahun di belakang bangunan tersebut.

Mangsa kelihatan membongkok pada sebuah selusur berhampiran beberapa individu lain yang sedang duduk di sebuah meja namun tidak menyedari kejadian itu.
Mangsa kemudiannya dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon kecemasan Hospital Queen Elizabeth.





