16 Kampung di Tenom Dilanda Banjir, Paras Air Sungai Berada di Tahap...

16 Kampung di Tenom Dilanda Banjir, Paras Air Sungai Berada di Tahap Amaran

0
SHARE

TENOM: Sebanyak 16 buah kampung di Daerah Tenom terjejas akibat limpahan air Sungai Padas dan Sungai Pegalan berikutan hujan tidak menentu yang bermula sejak 2 Mei lalu.

Paras air yang meningkat secara mendadak telah menyebabkan beberapa laluan kampung ditenggelami air, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk dan operasi harian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom, kejadian ini berpunca daripada taburan hujan yang melebihi purata, sekali gus meningkatkan paras air sungai hingga menyebabkan limpahan ke kawasan rendah.

Antara kampung yang terlibat termasuk Kg. Enubai, Kg. Ponontomon, Kg. Tumantalik, Kg. Mandalom Lama, Kg. Binaie, Kg. Binsilon, dan beberapa lagi.

Sejumlah tujuh pusat transit sementara telah dibuka bagi menampung penduduk yang terkesan, termasuk Transit Ponontomon, Dewan Sri Antanom dan Transit Kg Labut 1 dan 2.

Walaupun kebanyakan laluan di kampung-kampung ini masih boleh dilalui, beberapa kawasan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda, seperti di Kg. Pansailon Tanjung, Kg. Binaie, dan Kg. Kallang Kanar.

Dalam perkembangan lain, SK Kallang Kanar turut terjejas, apabila kawasan sekitarnya dinaiki air. Walau bagaimanapun, bacaan terkini paras air di Jambatan Tenom Lama menunjukkan trend penurunan dengan paras air pada 176.85 meter, masih dalam kategori amaran (paras bahaya ialah 177.00 meter).

Cuaca semasa di Tenom dilaporkan cerah, dan tiada kejadian tanah runtuh, jalan terputus, fasiliti kesihatan terjejas, atau kes kecemasan dilaporkan setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa, memandangkan situasi masih dalam pemantauan.