240,000 Pesawah Bakal Terima Bantuan BERNAS RM250

240,000 Pesawah Bakal Terima Bantuan BERNAS RM250

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seramai 240,000 pesawah di seluruh negara bakal menerima sebanyak RM250 seorang daripada jumlah keseluruhan RM60 juta yang diperuntukkan oleh Bantuan Khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, menjelaskan bayaran yang diterima pesawah bukan RM477 seperti didakwa segelintir pihak.

“Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ada menerima pertanyaan daripada netizen mengapa bayaran yang diterima oleh pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang membabitkan 20,958 individu hanya RM250 dan bukan RM477.

“Pengiraan orang ramai, RM10 juta dibahagikan dengan jumlah pesawah di Pantai Timur iaitu seramai 20,598 orang adalah tidak tepat.

“Ini kerana jumlah keseluruhan bantuan yang diterima daripada BERNAS adalah RM60 juta dan jumlah itu perlu dibahagikan dengan 240,000 pesawah di negara ini, menjadikan setiap pesawah menerima RM250 seorang.

“Harap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebook, semalam.