KOTA KINABALU, SABAH – Tun Juhar Mahiruddin mengangkat sumpah untuk penggal keempat sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah dalam satu istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Tun Juhar ditemani isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni tiba di Dewan Istiadat pada jam 10.30 pagi dan mengangkat sumpah kira-kira 10 minit kemudian.
Tun Juhar kemudian menandatangani surat cara mengangkat sumpah jawatan, disaksikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, sebelum Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia.
Mufti negeri Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar kemudian membaca doa untuk kesejahteraan negeri di bawah bimbingan Tun Juhar, sebelum Yang Dipertua Negeri meninggalkan tempat itu pada pukul 11 pagi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.
Pada 23 Disember, Tun Juhar menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur untuk berkhidmat dua tahun lagi sebagai Yang Dipertua Negeri.
Tun Juhar, 69, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Jan 2011, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.
Hajiji dalam ucapannya berkata dengan bimbingan Tun Juhar, Sabah kini berada di landasan yang betul untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mempergiatkan pembangunan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Pelaksanaan pelan pembangunan menyeluruh dan holistik ini telah menghasilkan impak positif, termasuk meningkatkan pelaburan asing dan domestik, perkembangan positif dalam sektor pelancongan dan pelaksanaan program pembangunan dalam semua sektor,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa Sabah akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran di bawah naungan Tun Juhar, lambang perpaduan rakyat dan pemimpin pelbagai latar belakang di negeri itu.
Bagi pihak pemimpin dan rakyat Sabah, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Tun Juhar dan berikrar taat setia kepada Yang Dipertua Negeri.





