91 Pelajar Sekolah Menengah Hadiri Sidang DUN Sabah

91 Pelajar Sekolah Menengah Hadiri Sidang DUN Sabah

0
SHARE
Dun
Pelajar SM Tshung Tsin bergambar kenangan bersama Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe (tiga kanan) dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt (empat kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 91 pelajar dari SM Tshung Tsin Sabah, SMJK Ken Hwa dan SM St Francis Xavier Keningau diberi peluang hadir Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Keenam Belas.

Guru pengiring SM Tshung Shin, Evelyn Jose, 50, berkata idea membawa 50 pelajar tingkatan lima aliran sains sekolah berkenaan datang ke persidangan tersebut adalah bagi memberi pendedahan proses meluluskan rang undang-undang (RUU).

“Terdapat silibus dalam mata pelajaran sejarah Tingkatan 5 tentang sistem pentadbiran negara dan peranan DUN.

“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan jadi memang mereka (pelajar) ada belajar proses meluluskan undang-undang di DUN dan sistem pilihanraya.

“Pelajar didedahkan dengan situasi sebenar berbanding dalam buku jadi, kami bawa mereka keluar supaya boleh nampak situasi hari ini.

“Macam tadi (semalam), saya tengok reaksi pelajar, masa masuk mereka tanya sebelah kanan siapa, kiri siapa, jadi kami sempat menerangkan di sebelah kanan pembangkang dan kiri kerajaan serta tujuannya,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri, pada Selasa.

Evelyn juga memaklumkan lawatan sambil belajar itu juga bertujuan untuk menyemai perasaan cintakan negara dan pelajar dapat menyedari setiap individu mempunyai hak untuk bersuara melalui cara serta saluran yang betul.

“Lagipun tahun ini mereka berusia 17 tahun dan sudah boleh mengundi pada tahun hadapan apabila berumur 18, oleh itu mereka perlu tahu hak sebagai rakyat Malaysia.

“Saya berharap supaya para pelajar menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk melaksanakan peranan kerana mereka adalah pemimpin pelapis masa depan,” ujarnya.

Selain SM Tshung Tsin, dua sekolah dari Keningau turut menghantar pelajar sebagai pemerhati ialah SMJK Ken Hwa (21 pelajar) dan SM St Francis Xavier (20 pelajar). — JABATAN PENERANGAN SABAH