Menara Telekomunikasi Baharu Bakal Lonjakkan Taraf Hidup Penduduk Kampung

Menara Telekomunikasi Baharu Bakal Lonjakkan Taraf Hidup Penduduk Kampung

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Taraf hidup penduduk setempat Kampung Rungus Nahaba di sini bakal melonjak dengan kemudahan menara telekomunikasi baharu yang telah siap dipasang dan mula beroperasi pada Ahad.

Menara itu adalah antara 51 menara baharu melalui projek JENDELA yang terawal dilaksanakan di negeri Sabah.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup dalam lawatan ke kawasan berkenaan hari ini berkata ianya dapat memanfaatkan lebih 250 penduduk kampung tersebut.

“Guru-guru dan murid-murid di SK Rungus Nahaba kini boleh menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari rumah melalui jaringan perkhidmatan telekomunikasi 4G yang lebih baik…

“Selain itu, kesalinghubungan Internet yang lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosioekonomi penduduk di kawasan ini melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan melalui atas talian,” katanya.

Lawatan beliau bertujuan memantau perkembangan projek bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri Sabah.

Pelan JENDELA dihasilkan untuk memenuhi aspirasi nasional perkhidmatan komunikasi sebagai usaha memperluaskan liputan dan mempertingkat kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh bagi Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Ini termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi mempersiapkan negara untuk beralih kepada teknologi 5G.

Arthur (kedua kanan) bersama ADUN Kiulu Datuk Joniston di sebelah kiri beliau semasa lawatan ke menara komunikasi baharu Kampung Rungus Nahaba…

Kata Arthur lagi, sebanyak 781 points of presence (PoP) akan disediakan berhampiran kawasan sekolah bagi ketersambungan perkhidmatan jalur lebar.

Penyediaan PoP ini akan membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial yang berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

“Ini akan dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti dalam talian di kawasan luar bandar…

“PoP juga akan disediakan di kawasan perindustrian di Sabah iaitu kawasan perindustrian Kastam Baru, kawasan perindustrian Keningau, kawasan perindustrian POIC Sandakan, KKIP Kota Kinabalu, Rancha-Rancha Industrial Park, Kiamsam Industrial Park, SEDCO IP Inanam dan POIC Lahad Datu Fasa 1 dan 2.

“Penyediaan points of presence (PoP) yang dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan sedang dalam proses tender secara berperingkat oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, di bawah agenda MyDIGITAL untuk memastikan pendigitalan dapat direalisasikan di seluruh negara.

“Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di era baharu ini,” jelasnya.

Inisiatif MyDigital adalah penanda aras yang kritikal untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dari 2021-2025, seiring dengan usaha menuju Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Inisiatif merapatkan jurang digital bagi penduduk bandar dan luar bandar serta pedalaman terutamanya di Sabah telah dipergiatkan melalui pelaksanaan Pelan JENDELA dengan peruntukan sebanyak RM3.5 billion untuk negeri Sabah sehingga 2022.

Peruntukan ini melibatkan pembinaan 534 menara baharu 4G, 3,374 stesen pemancar akan dinaik taraf dan 251,165 premis akan disediakan dengan infrastruktur jalur lebar talian tetap.

Usaha tersebut akan dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi digital serta mempermudahkan urusan atas talian seperti pembelajaran dan perdagangan.

Sehingga 30 Jun 2021 sebanyak 51 menara baharu 4G telah dibina, 1,850 stesen pemancar telah dinaiktaraf serta 60,337 premis telah disediakan dengan infrastruktur jalur lebar talian tetap.