
KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) bakal melaksanakan inisiatif penurunan harga produk jualan di semua 93 kedai PERNAMA seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata menerusi inisiatif ini, penurunan harga yang ditawarkan adalah sehingga 48 peratus bagi makanan dan barangan keperluan asas seharian manakala sehingga 90 peratus bagi keperluan persekolahan anak-anak warga pertahanan.
Katanya, hasil tinjauan beliau ke kedai-kedai PERNAMA mendapati harga sebahagian produk jualan di kedai PERNAMA tidak jauh bezanya berbanding kedai di luar.
“Justeru, saya telah memberi masa selama sebulan kepada PERNAMA sejak bulan lalu untuk memperincikan pendekatan agar harga produk di kedai PERNAMA boleh diturunkan lagi…
“Saya juga mengingatkan PERNAMA bahawa tujuan utama mereka berurus niaga dengan warga pertahanan adalah untuk membela kebajikan, bukannya mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya antara produk barangan keperlyan harian yang dikenakan diskaun di kedai PERNAMA adalah susu formula bayi (RM21.49); tuala wanita (RM3.09); sardin (RM6.99); tepung (RM2.49) dan beras 10 kilogram (RM25).
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas sesi lawatan kerjanya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, semalam.
Hishammuddin juga berkata PERNAMA bakal melaksanakan penurunan harga pakaian seragam sekolah bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan untuk warga pertahanan.
Katanya, dengan penurunan harga tersebut, warga pertahanan boleh membeli pakaian seragam sekolah untuk anak-anak mereka dengan harga hanya RM5 bagi seluar dan baju.
“Untuk makluman, inisiatif penurunan harga di kedai PERNAMA yang akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun ini berkuatkuasa serta merta bermula hari ini (semalam) sehingga 31 Disember ini.
“Saya juga telah mengingatkan PERNAMA supaya memastikan barang yang diturunkan harga ini mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dirasai manfaatnya oleh warga pertahanan.
“Kepimpinan MINDEF akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.
PIC 1: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) bergambar di hadapan pameran produk jualan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) di Kedai PERNAMA Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar.





