LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menggagalkan cubaan menyeludup keluar minuman keras tidak bercukai dari pulau ini, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa sedang melaksanakan rondaan rutin, pasukan operasi telah mengesan pergerakan sebuah bot mencurigakan di perairan Mempakul, Sabah pada sekitar jam 1.00 pagi.
“Menyedari kehadiran aset Maritim, bot suspek telah memecut Iaju menuju daratan dan suspek telah bertindak nekad terjun menyelamatkan diri dengan meninggalkan bot tersadai di kawasan paya bakau, sekitar 0.45 batu nautika barat laut Pulau Balangkasan, Sabah…
“Pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor pendaftaran telah menemukan 1680 tin minuman keras tidak bercukai disorokkan di bawah kanvas biru dan dipercayai diseludup keluar dari Pulau Labuan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Bot serta kesemua rampasan telah dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
Nudin berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM40 ribu termasuk bot serta enjin sementara kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
“Gerakan mengesan dan memburu suspek akan dilaksanakan berdasarkan kepada hasil siasatan lanjut…
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Labuan di talian 087-457999,” tegas beliau.





