KOTA KINABALU, SABAH – Rombakan pemain-pemain Sabah FC akan dibuat selepas menghabiskan baki perlawanan dalam Piala Malaysia yang sedang berlangsung.
Perkara itu datang selepas pasukan Sabah tewas 0-2 kepada JDT di tanah air sendiri pada Jumaat lalu dan lagi 0-3 di Johor Bahru semalam.
Setiausaha Agung SAFA, Datuk Jelani Hamdan berkata, walaupun ketua jurulatih pasukan Sabah, Datuk Ong Kim Swee, mempunyai kredibiliti dan rekod prestasi yang terbukti namun hasil yang diharapkan tidak boleh datang secara serta merta.
“Ong perlu masa dan ruang untuk membuat perubahan dan kita tidak menjangkakan bahawa perubahan itu sempat dibuat semasa Piala Malaysia sedang berlangsung…
“Kita tidak boleh ganggu kedudukan pemain sekarang dan tidak banyak Ong boleh buat. Tetapi dia lebih tahu tentang kelemahan dan posisi yang perlu diperbaiki atau mana-mana pemain untuk digantikan,” katanya.
Jelani berkata di penghujung kejohanan Piala Malaysia ini, Ong Kim Swee hanya dapat mengekang kekalahan yang teruk dan telah berjaya membuat sedemikian dengan cara menaikkan semangat pemain.
“Ong telah membawa banyak perubahan yang ketara kepada pasukan sejak beliau menggalas tugas September lalu tapi itu hanya akan dapat dilihat pada musim depan iaitu pada Liga Super awal tahun depan…

“Sudah tentu kita akan memberi kebebasan kepada Ong untuk memlih pemain dan stategi. Pihak pengurusan tidak akan campur tangan atau menekannya tetapi memberi kebebasan penuh,” kata Jelani.
Jelani turut meminta peminat Sabah FC untuk bersabar dan terus memberi sokongan penuh mereka.
“Kalau pun datang jurulatih dari Manchester United, dengan status pemain yang kita ada, tidak banyak perubahan boleh dibuat,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau memberi amaran kepada pemain pasukan Sabah untuk membuktikan kemampuan mereka di baki perlawanan Piala Malaysia jika masih berhasrat bermain untuk Sabah.
“Jangan kasi malu Sabah,” tegasnya.





