KUALA LUMPUR – “Ini kerja gila”, demikian reaksi spontan beberapa aktivis NGO ketika diminta mengulas mengenai pendedahan di Mahkamah Tinggi bahawa kerajaan Malaysia akan menanggung hutang berjumlah AS$3 billion selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani dokumen sokongan selaku Menteri Kewangan ketika itu.
“Jika dakwaan ini benar, Datuk Seri Najib Tun Razak secara jelas telah melakukan satu kesilapan paling besar kerana telah menggadaikan negara kepada syarikat yang telah menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang berjumlah berbillion ringgit,” kata mereka (NGO).
Menurut bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, berdasarkan surat itu, Kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika syarikat itu gagal berbuat demikian.
Ismee saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu diĀ Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kelmarin.
Memetik kenyataan Bernama, Ismee berkata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2013, meletakkan tanggungjawab membayar semula hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah US$3 bilion (RM12.5 bilion) ke atas kerajaan negara.
Anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) akan menerbitkan bon sebanyak US$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

Katanya surat sokongan kerajaan kepada 1MDB bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu menjelaskan, sekiranya peminjam 1MDB GIL tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, syarikat 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.
“Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB untuk membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai,” kata Ismee.
Beliau merupakan saksi pendakwaan ke-13 dalam perbicaraan kes rasuah dan penggubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.
Ismee semasa membaca pernyataan saksi berkata kelulusan untuk membuat ‘fundraising’ (mengumpul dana) sebanyak US$3 bilion telah dicapai pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) bertarikh 12 Mac 2013 manakala surat sokongan dikeluarkan pada 14 Mac 2013.
“Hampir kesemua keputusan yang dicapai oleh 1MDB bagi menjayakan ‘fundraising’ US$3 bilion itu adalah melalui DCR dan Special Right Redeemable Preference Shareholders Resolution (SRR)…
“Sepatutnya, sesuatu keputusan yang ingin dicapai boleh dibuat sama ada melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) atau melalui DCR dan SRR.
“Bagaimanapun sekiranya sesuatu keputusan diperlukan dengan kadar segera maka lazimnya ia akan dibuat melalui DCR dan SRR,” jelas Ismee.
“Saya mengesahkan bahawa, kuasa Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi penasihat lembaga 1MDB adalah melangkaui BOD 1MBD berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) berkaitan urusan kewangan dan pelaburan syarikat yang melibatkan kepentingan negara hendaklah dibuat keputusan oleh Perdana Menteri (Najib),” katanya lagi.





