CUEPACS Tidak Bersetuju Kerajaan Benarkan Pengeluaran Wang KWSP

CUEPACS Tidak Bersetuju Kerajaan Benarkan Pengeluaran Wang KWSP

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) tidak bersetuju kerajaan membenarkan kemudahan mengeluarkan wang simpanan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata bahawa kemudahan pengeluaran daripada wang KWSP berkenaan akan memberi kesan kepada orang ramai terutamanya golongan pesara kerana memiliki jumlah simpanan KWSP yang terlalu rendah pada masa akan datang.

“CUEPACS tidak bersetuju sekiranya masih ada lagi cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang KSWP memandangkan lebih RM100 bilion telah dikeluarkan sebelum ini…

“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan, kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Adnan Mat…

Menurutnya lagi, ekonomi negara dilihat semakin pulih dan kembali berkembang ketika ini apabila kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan yang ketat kepada pembukaan sektor ekonomi di negara ini.

Selain itu, rakyat juga dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri mahupun luar negara yang mana ia boleh mengembalikan aktiviti serta perniagaan masing-masing.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran wang KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.