Kemenangan Dua Pertiga GPS Di PRN Sarawak, Tanda Kemenangan Rakyat

Kemenangan Dua Pertiga GPS Di PRN Sarawak, Tanda Kemenangan Rakyat

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyifatkan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) sebagai kemenangan seluruh rakyat negeri ini.

Ini selepas gabungan berkenaan telah memenangi 60 kerusi iaitu melebihi dua pertiga kerusi DUN Sarawak setakat jam 10 malam ini.

Kemenangan lebih dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) disifatkan sebagai isyarat rakyat mengiktiraf parti tempatan yang terbukti mempunyai rekod cemerlang mentadbir Sarawak.

Abang Johari berkata, mandat kemenangan yang diberi rakyat akan membantu usaha kerajaan negeri untuk meletakkan Sarawak pada kedudukan yang sama dengan Semenanjung sebagai rakan wilayah dalam Malaysia.

“Rakyat telah memberi mandat kepada kita untuk Sarawak diutamakan dan mandat ini juga memberikan kuasa kepada GPS untuk meneruskan pembangunan ekonomi yang mampan dan dasar sosial yang mengutamakan rakyat…

“Ia juga memberi isyarat betapa pentingnya keterangkuman semua kaum dalam pembangunan negeri kita ke arah (Strategi Pembangunan Pasca COVID-19) 2030, tidak kira perbezaan etnik dan agama,” katanya dalam ucapan kemenangan PRN-12, di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia juga bukti rakyat tempatan menolak parti berpangkalan di Semenanjung atau ‘parti luar’ untuk mentadbir Sarawak.

Jelasnya, kemenangan ini juga adalah amanah rakyat yang harus dipikul penuh tanggung jawab kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS yang dipilih.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS untuk terus menerajui dan mentadbir Sarawak, dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12)…

“Penghargaan dan terima kasih juga kepada kesemua jentera parti yang bertungkus lumus serta bekerja keras di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi GPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan PAS (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.