KOTA KINABALU, SABAH – Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini selama-lamanya, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, walaupun negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi, namum ia tidak akan melemahkan semangat dan rakyat untuk terus mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya.
“Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan rakyatnya.
“Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan kerajaan.
“Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu oleh mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang
Merdeka, di sini, semalam.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.
Beliau berkata, di Padang Merdeka inilah pada 16 September 1963, lebih enam dekad lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah membentuk negara Malaysia.
“Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu.
“Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah penyatuan dua wilayah di
kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu bagi membentuk sebuah
negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.
“Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri ini, antaranya seperti Tun Mustapha Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan tepat, tetapi berani, berprinsip serta berjiwa besar.
“Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada
penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan
kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.
Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan
mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan
pedalaman, beliau berkata sejak lebih enam dekad lalu, Sabah telah mengalami
perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.
“Penyediaan dan menambah baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini dan kita sedang melaksanakannya.
“Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang tercicir, dan tiada rakyat terpinggir, termasuklah pelaksanaan program berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.
Katanya, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan
demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan
melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling hormat menghormati.
“Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi
kebanggaan kita bersama sejak sekian lama. Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa
serta lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” katanya.