KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dijangka menerima kemasukan ahli baru melalui bekas Naib Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Ewon Ebin.
Ewon dalam sebuah kenyataan hari ini memberikan respons positif terhadap pelawaan dari Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, bagi menyertainya dua hari yang lalu.
Ewon berkata perkara itu akan dibincang secara serius di antara kalangan mereka.
“Kami yakin dapat meraih sokongan daripada kesemua ahli Bahagian PCS di Sabah…
“Keputusan kami akan dimaklumkan kepada Arthur dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Pada Jumaat lalu, beberapa Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian dan ahli biasa PCS telah keluar parti atas sebab tiada hala tuju yang jelas selepas menemui kekalahan pada pilihan raya negeri Sabah pada tahun 2020.

Presiden PCS Datuk Seri Panglima Anifah Aman berkata tindakan mereka itu kerana takut dengan rombakan jawatan yang akan berlaku dalam parti tidak lama lagi.
Pada Ahad pula, seramai 780 orang di Mukim Pagalungan telah menyerahkan borang kemasukan ke PBRS.





