Sekatan Yang Ketat Buat Golongan Tidak Divaksin Di Perancis Mulai Januari 2022

Sekatan Yang Ketat Buat Golongan Tidak Divaksin Di Perancis Mulai Januari 2022

0
SHARE

PARIS, PERANCIS – Sekatan bakal diperketatkan terhadap golongan tidak divaksin daripada memasuki tempat awam mulai pertengahan Januari ini walaupaun tiada sebarang perintah berkurung dikenakan ketika sambutan malam Tahun Baharu di Perancis.

Perdana Menteri, Jean Castex yang dipetik BH Online mengumumkan langkah membendung peningkatan kes COVID-19 dan varian Omicron, sejurus selepas mengadakan mesyuarat kesihatan tergempar berikutan peningkatan kes COVID sebanyak 100,000.

Langkah-langkah itu termasuk rang undang-undang pas vaksin yang telah diluluskan Kabinet, lapor Agensi Anadolu (AA).

Rang undang-undang pas vaksin itu bertujuan membebankan golongan yang tidak divaksin dan menggantikan pas kesihatan semasa bagi membolehkan orang ramai masuk ke restoran, kafe, pusat kebudayaan, panggung wayang, muzium dan lain-lain mulai 15 Januari ini.

“Jika rang undang-undang diluluskan Parlimen, hanya mereka yang mengemukakan bukti vaksinasi dibenarkan masuk ke tempat-tempat yang memerlukan pas vaksin, dan keputusan ujian negatif COVID tidak lagi diterima,” kata Castex.

Terdapat kira-kira lima juta rakyat Perancis yang masih belum divaksin dan menolak suntikan COVID-19.

Sekatan lain yang akan dikuatkuasa pada Isnin ini termasuk mengehadkan bilangan peserta perhimpunan besar kepada 5,000 orang di kawasan terbuka dan 2,000 orang bagi kawasan tertutup, manakala makan dan minum dalam pengangkutan awam, salun wayang, dan kemudahan sukan adalah dilarang.

Castex juga meminta orang ramai untuk mendapatkan suntikan penggalak bagi mengelakkan kemasukan ke hospital.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran juga memberi amaran bahawa kes harian dijangka melebihi 250,000 pada awal Januari.