TAWAU, SABAH – DUA (2) jenazah adik-beradik mangsa bot karam di Kampung Batu Payung sini disahkan positif COVID-19.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata pihaknya menerima laporan tersebut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik keputusan ujian pertama dikeluarkan.
“Bagaimanapun, pihak KKM juga sudah menjalankan ujian saringan kedua untuk mengesahkan sebetulnya jenazah tersebut positifi COVID-19…
“Bagi jenazah yang baharu ditemukan, kita sudah hantar ke Hospital Besar Tawau untuk proses ujian saringan COVID-19,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.
Dalam pada itu, beliau menasihati semua keluarga mangsa dan orang awam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
“Sementara menunggu ujian saringan COVID-19 dilakukan, semua diminta untuk menjalani kuarantin kendiri bagi mengelak berlakunya penularan wabak tersebut,” katanya hari ini.
Beliau juga mengingatkan nelayan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi terlebih dahulu sekiranya turun ke laut selain memastikan kondisi bot berada dalam keadaan baik dan sentisa memakai jaket keselamatan.
“Mereka yang tinggal di persisiran pantai dan kawasan rendah diminta bersiap sedia sekiranya pihak berkuasa mengarah untuk keluar dari rumah demi keselamatan diri dan keluarga,” tambahnya.





