Harga Ayam Standard Dikurangkan 20 Sen, Harga Telur Kekal

Harga Ayam Standard Dikurangkan 20 Sen, Harga Telur Kekal

0
SHARE

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga ayam maksimum runcit bagi ayam standard kini dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan menjadikannya RM8.90.

Sementara itu, harga telur ayam bagi semua gred masih kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Beliau berkata, pengumuman kedua-dua harga tersebut yang akan berula 5 Februari sehingga 5 Jun tersebut adalah diantara perkara yang dipersetujui menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai industri pengeluaran makanan semalam.

“Kerajaan sentiasa mengambil tindakan proaktif untuk memastikan harga kekal berpatutan, dalam masa yang sama memastikan penternakan ayam tidak terjejas agar bekalan sektiasa stabil…

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MAFI) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) membentangkan sebanyak empat kertas dalam mesyuarat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, beberapa perkara lain juga dipersetujui menerusi mesyuarat berkenaan antaranya pemberian subsidi bagi pengawalan harga barang seperti SHMKM yang perinciannya akan dibuat oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara diketuai oleh MAFI serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil.

“Selain itu permit import ayam bulat juga dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam yang sebelum ini hanya dibenar mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain serta mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar.

“Mesyuarat turut mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam serta telur.

“Pelaksanaan Kedai Harga Patut juga perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan dan mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

“Selain itu, koperasi terlibat dalam industri pertanian pula akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga,” katanya.