Lagi Kluster Institusi Pendidikan Dikesan Di Kota Kinabalu

Lagi Kluster Institusi Pendidikan Dikesan Di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat penyusutan enam (6) kes COVID-19 hari ini namun sebuah lagi kluster institusi pendidikan telah diisytiharkan di ibu kota.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes yang tertinggi dengan 84 kes atau hampir satu per empat daripada jumlah 367 KES hari ini.

“Selain daripada kes yang berpunca daripada Saringan Bergejala dan Saringan Kontak, jumlah kes tinggi di Kota Kinabalu banyak dipengaruhi oleh kes-kes baharu yang berpunca daripada kluster baru yang diisytihar di Kota Kinabalu hari ini,” katanya dalam rumusan harian kes.

Beliau menjelaskan bahawa kluster baharu itu yang dikenali sebagai ‘Kluster Lorong Api-Api’ melibatkan pelajar Almacrest International College.

“Kes indeks merupakan seorang pelajar, berumur 18 tahun, yang tinggal di asrama kolej berkenaan di Api-Api Centre…

“Beliau mula bergejala pada 18 Januari dan dan didapati positif ketika mendapatkan rawatan tiga hari selepas itu.

“Daripada 40 ujian saringan yang dilakukan, seramai 34 pelajar didapati positif.

“Kesemua yang terlibat hanya dalam Kategori 1 dan 2 dan telah dihantar ke pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan dan rawatan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, daerah Sandakan juga merekodkan angka yang tinggi iaitu 74 kes dan juga di Tuaran dengan 50 kes. Hanya empat (4) daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baru.

Dua pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 3 dan seorang lagi dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (31 Jan 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 84 (65)
Sandakan – 74 (45)
Tuaran – 50 (36)
Tawau – 25 (54)
Kota Belud – 19 (12)
Penampang – 17 (45)
Putatan – 17 (15)
Papar – 13 (14)
Ranau – 13 (12)
Beaufort – 10 (28)
Telupid – 9 (0)
Lahad Datu – 7 (3)
Kota Marudu – 6 (12)
Kuala Penyu – 4 (9)
Keningau – 4 (4)
Tambunan – 3 (2)
Kunak – 3 (3)
Kinabatangan – 2 (3)
Sipitang – 2 (3)
Tenom – 2 (2)
Semporna – 1 (1)
Nabawan – 1 (0)
Pitas – 1 (0)
Beluran – 0 (2)
Tongod – 0 (1)
Kalabakan – 0 (0)
Kudat – 0 (2)