KOTA KINABALU, SABAH – Kluster institut pendidikan ‘Kem Bina’ di daerah Ranau diisytiharkan tamat hari ini manakala DUA (2) baru bermula termasuk di Kota Marudu.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kluster aktif di seluruh Sabah pada masa ini adalah sebanyak 39.
Kluster Jalan Bandau di daerah Kota Marudu melibatkan pelajar asrama SMK Kota Marudu 1.
“Indeks kes merupakan seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Feb…
“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 95 kes,” katanya.

Sementara itu, Kluster Jalan Sokid di Ranau adalah kluster institusi pendidikan yang melibatkan SMK Bundu Tuhan.
“Indeks kes adalah seorang lelaki berumur 24 tahun dan merupakan seorang pekerja kontrak pembersihan yang dikesan melalui saringan bergejala pada 4 Feb…
“Saringan dikalangan kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 27 kes,” jelas Masidi.
Katanya semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya manakala kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.
Dalam pada itu katanya sejumlah 99 peratus kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2.
Masidi berkata terdapat tiga (3) kes dalam Kategori 3, sepuluh (10) kes dalam Kategori 4 dan satu (1) kes dalam Kategori 5.





