MOSCOW, RUSIA – Rusia dan Ukraine hari ini telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata sementara di Ukraine untuk membenarkan orang awam meninggalkan bandar Mariupol dan Volnovakha, lapor CNBC.
Walau bagaimanapun pegawai di Mariupol berkata, arahan gencatan senjata itu tidak dipatuhi tentera Rusia.
Peperangan tersebut sepatutnya berhenti pada pukul 10 pagi waktu Moscow pada Sabtu.
Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Mariupol berkata, pada 12.40 tengah hari waktu tempatan, tembakan oleh tentera Rusia tetap berterusan, dan pemindahan penduduk bandar itu terpaska ditangguhkan.
“Disebabkan pihak Rusia tidak mematuhi gencatan senjata dan terus membedil Mariupol dan kawasan sekitarnya, atas sebab keselamatan, PEMINDAHAN POPULASI TERPAKSA DITANGGUHKAN,” kata majlis melalui aplikasi Telegram.
Pengumuman itu juga menggesa para penduduk untuk kembali ke berlindung di tempat yang selamat.
“Rundingan sedang dijalankan dengan Rusia untuk memastikan koridor kemanusiaan yang selamat…
Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Mariupol Orlov Sergei, memberitahu BBC bahawa tembakan di bandar itu masih berterusan, bersama-sama dengan pertempuran di sepanjang laluan pemindahan yang dicadangkan.
Majlis bandaraya itu menjangkakan gencatan senjata akan berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang waktu tempatan dan merancang untuk memindahkan penduduk ke Zaporizhzhia, sebuah bandar di barat, dengan menggunakan bas perbandaran.
“Kami memutuskan untuk memindahkan orang awam kembali ke tempat yang selamat kerana ianya tidak selamat untuk berada di jalan raya,” tambah Sergei.
Terdahulu, seorang pegawai Ukraine berkata “koridor kemanusiaan” sedang disediakan.
“Di Mariupol dan Volnovakha, pemindahan koridor kemanusiaan kini sedang disediakan untuk dibuka. Kedua-dua pihak kini sedang menghentikan tembakan buat sementara waktu di kawasan koridor tersebut,” kata Mykhailo Podoliak, penasihat kepada Pejabat Presiden Ukraine yang mengambil bahagian dalam rundingan dengan pegawai Rusia minggu ini, menerusi akaun Twitternya.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia — dalam kenyataan sama yang menggariskan butiran gencatan senjata — berkata bahawa “operasi serangan”nya itu tetap diteruskan di kawasan lain di negara itu.
Banyak bandar utama Ukraine, termasuk ibu kota Kyiv, masih diserang oleh tentera Rusia yang menyerang dari utara, timur dan selatan.
Bagaimanapun, sebilangan besar kenderaan tentera Rusia dalam perjalanan ke Kyiv nampaknya terhenti sejak beberapa hari kebelakangan ini. Masalah logistik dan kekurangan makanan dan bahan api adalah salah satu punca menurut laporan yang belum disahkan.





