SEGAMAT, JOHOR BAHRU – Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia, yang memberi peluang kedua kepada pelajar yang mahu meneruskan pengajian ke menara gading, bakal diadakan di 50 lokasi di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipetik Bernama berkata, jelajah itu memberi peluang kepada pelajar yang gagal memasuki universiti berikutan penilaian UPU Online, yang tidak mengambil kira status keluarga, tempat tinggal dan sebagainya dalam membuat keputusan.
“Jadi, sebab itulah kita membuat program ini dan hasilnya, ramai pelajar yang gagal ini berjaya mendapat tawaran masuk ke universiti pada masa itu juga ketika jelajah dijalankan…
“Itu sebab program ini kita terus laksanakan walaupun apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan memberhentikan program ini. Kerajaan bertukar tetapi kita tak dapat teruskan program ini kerana COVID-19. Tahun ini kita mulakan semula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia, di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, sejak 2016 sehingga hari ini, seramai 160,374 pelajar berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam, institusi pengajian tinggi swasta serta agensi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).
Beliau berkata, seramai 50,000 pelajar disasarkan memasuki menara gading, tahun ini, selain menjangkakan 407,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan 401,000 pelajar SPM 2020 akan mengunjungi jelajah itu.
Pada masa sama, Ismail Sabri juga menyeru agensi dan yayasan yang berkemampuan untuk tampil memberikan sumbangan bagi membantu pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pendidikan adalah perkara yang amat penting bagi mengubah masa depan individu atau setiap keluarga itu sendiri.
“Kerajaan juga menjadikan pendidikan sebagai agenda utama untuk mengubah kehidupan anak bangsa, untuk mengubah kehidupan keluarga dan mengubah negara kita,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta daripada Yayasan Petronas untuk membantu pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke menara gading.





