Ahli Perniagaan Kaya Sri Lanka Bakal Dilantik Menteri Kewangan

Ahli Perniagaan Kaya Sri Lanka Bakal Dilantik Menteri Kewangan

0
SHARE
Dhammika Perera...

COLOMBO, SRI LANKA – Salah seorang ahli perniagaan terkaya Sri Lanka bakal menggantikan tempat adik presiden di Parlimen, kata pegawai parti pemerintah semalam yang mana negara itu mengalami krisis kewangan ketika ini dan akan bergerak ke hadapan dalam perbincangan untuk rancangan penyelamatan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sri Lanka berada dalam krisis kewangan terburuk sejak kemerdekaan negara itu pada 1948.

Memetik laporan Reuters, rizab pertukaran asing jatuh ke paras terendah menyebabkan negara itu bergelut untuk membayar import penting bahan api, makanan dan ubat-ubatan serta mencetuskan kekurangan dan bantahan selama berbulan-bulan.

Pada awal April lalu, Presiden Gotabaya Rajapaksa membubarkan Parlimen yang turut membabitkan adik lelakinya, Basil Rajapaksa yang juga adalah Menteri Kewangan.

Basil semalam mengumumkan beliau juga turut meletak jawatan daripada kerusi Parlimen, yang dianggotai 225 ahli di mana parti pemerintah boleh melantik ahli Parlimen baharu tanpa memerlukan pilihan raya kecil.

Pelabur utama Sri Lanka, Dhammika Perera yang memegang kepentingan dalam berpuluh-puluh syarikat, akan menggantikan bekas menteri kewangan itu, kata Sagara Kariyawasam, Setiausaha Agung parti pemerintah Sri Lanka, Podujana Peramuna (SLPP).

“Nama Perera sudah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk diwartakan sebagai ahli Parlimen baharu…

“Kami menjangkakan berlaku tidak lama lagi,” kata Kariyawasam kepada Reuters.

Perera yang boleh diberi portfolio menteri selepas pelantikannya sebagai ahli Parlimen tidak bersedia untuk mengulas, kata pejabatnya.

Sementara itu, beberapa penganalisis berkata, pelantikan Perera sebagai menteri berkemungkinan tidak banyak membantu mengatasi masalah ekonomi Sri Lanka yang yang sangat meruncing.

“Tidak kira pelantikan Perera, kami perlu menyelesaikan kerja asas. Sri Lanka menghadapi masalah makroekonomi serius…

“Pelabur akan meneliti program IMF dan penstrukturan semula hutang,” kata ahli ekonomi makro di firma pelaburan Asia Securities, Lakshini Fernando.

Delegasi IMF akan melawat Sri Lanka pada 20 Jun ini dan Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe berharap persetujuan peringkat kakitangan akan dicapai menjelang akhir bulan ini.

Sri Lanka memerlukan AS$5 bilion (RM22.01 bilion) untuk import tahun ini, kata Wickremesinghe kepada Parlimen minggu ini.