KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa agara para graduan sentiasa mengingati dan menghayati sejarah kemerdekaan negara.
Seri Paduka bertitah, penghayatan sejarah adalah penting untuk membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara serta menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi sekarang.
“Generasi pewaris negara harus sentiasa menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah…
“Ini kerana manusia yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali.
“Kerana itu para cendekiawan dunia menyatakan bahawa identiti nasional sesuatu bangsa dan negara ditentukan oleh batasan waktu yang berkait rapat dengan sejarah,” titah Al-Sultan Abdullah dalam titah diraja pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini pada Khamis.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Pro-Canselor UniKL, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UniKL bertitah, pembinaan bangsa Malaysia dapat dicapai menerusi kefahaman dan penghayatan kepada sejarah negara.
“Justeru, usaha-usaha untuk memupuk identiti nasional dan menanam semangat nasionalisme hendaklah bergerak seiringan dengan usaha untuk menghayati sejarah bumi yang dipijak dan tanah tumpahnya darah kita,” titah Seri Paduka.





