Kerajaan Sabah Pantau Penyebaran Ajaran Sesat Hadi Minallah

Kerajaan Sabah Pantau Penyebaran Ajaran Sesat Hadi Minallah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, kerajaan Sabah akan sentiasa memantau penyebaran ajaran Hadi Minallah yang dipercayai sudah mula dibawa masuk ke beberapa negeri di Malaysia.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan pegawai-pegawai agama di peringkat daerah perlu lebih peka kepada perkara ini agar ajaran yang menyeleweng sebegini tidak tersebar.

“Walau bagaimanapun, saya belum menerima sebarang laporan mengenai penyebaran ajaran ini…

“Namun, saya akan dapatkan maklumat daripada bahagian penguatkuasaan Jheains dan selepas itu kita akan membuat ketetapan melalui Jheains dan Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) semalam.

Sebelum ini, terdapat laporan Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal daripada Indonesia itu dipercayai sudah tersebar di beberapa negeri di Malaysia…

Kumpulan itu dipercayai aktif menyebarkan dakyah ajaran sesat melalui laman Youtube di bawah Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama Negeri itu berkata, apa-apa ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunah Wal-Jamaah perlu dilaporkan dengan Jheains dan pejabat Mufti.

“Kita akan memantau di setiap daerah kerana kita mempunyai pegawai tadbir, imam-iman masjid dan guru-guru agama yang perlu peka terhadap isu-isu sebegini. Apa-apa yang rakyat atau masyarakat dengar yang canggung dan tidak sesuai boleh laporkan kepada Jheains,” katanya.