WASHINGTON, AS – Perubahan iklim yang tidak menentu telah mengakibatkan ancaman taufan dan ribut tropika semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Ini berikutan fenomena cuaca luar biasa yang melanda beberapa benua.
Pada minggu lalu, beberapa bahagian di timur Kanada dibadai taufan kategori empat, Fiona yang mengakibatkan kemusnahan dahsyat sehingga digambarkan sebagai ‘zon perang total’.
Di rantau Asia Tenggara, taufan Noru atau Karding yang membawa angin kencang berkelajuan sehingga 240 kilometer sejam turut membadai Filipina hingga menyebabkan kawasan utara ibu kota ditenggelami banjir selain jutaan penduduk terputus bekalan elektrik.
Beberapa hari selepas itu, Cuba dan negeri Florida di Amerika Syarikat (AS) pula diancam hurikan Ian yang dijangka membawa angin kencang dan gelombang ribut.
Ketika ini, terdapat bukti jelas bahawa ancaman ribut yang dahsyat semakin teruk walaupun saintis masih belum menentukan sama ada fenomena perubahan iklim telah mempengaruhi corak taufan atau ribut tropika.
Krisis iklim yang semakin meningkat telah mendorong suhu lautan menjadi lebih tinggi berpotensi menghasilkan ribut tropika dengan cepat dan akhirnya menjadi taufan lebih besar yang membawa maut.
Fenomena ‘ribut dengan kelajuan menakjubkan’ itu boleh dilihat ketika Noru menghampiri Filipina yang menyaksikan tahap ancaman dinaikkan daripada kategori satu kepada lima.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), lebih 90 peratus fenomena pemanasan global sejak lebih lima dekad lalu berlaku di lautan.
Kajian saintis mendapati aktiviti manusia seperti pelepasan bahan bakar fosil yang terperangkap di atmosfera sebagai punca trend pemanasan secara berterusan hingga mewujudkan ketidakseimbangan tenaga.
Lautan pula menyerap kira-kira 90 peratus daripada haba yang berlebihan dan menyebabkan peningkatan suhu yang membimbangkan.
“Sebahagian besar pemanasan itu berlaku di bahagian teratas lautan di mana hurikan mendapat ‘tenaga’…
“Hurikan dan taufan adalah ‘enjin haba’ yang bermaksud ia mengambil tenaga haba dari lautan dan menukarnya kepada kinetik iaitu angin.
“Suhu lautan yang semakin panas memainkan peranan utama untuk meningkatkan tahap intensiti ‘tenaga haba’ yang boleh menghasilkan hurikan atau taufan lebih besar,” kata ahli metereologi di Yale Climate Connections, Jeff Masters.
Trend dilihat berlaku di seluruh dunia termasuk Teluk Bengal di mana siklon terhasil lebih awal menjelang musim monsun sejak tahun 2013.
Perubahan iklim turut meningkatkan kadar taburan hujan secara luar biasa…
Laporan penyelidikan diterbitkan menerusi jurnal Nature Communications pada April lalu mendapati ribut kuat ketika musim hurikan Atlantik pada tahun 2020 juga meningkatkan jumlah taburan hujan sebanyak lapan hingga 11 peratus.
Sementara itu, kajian pada tahun 2019 mendapati hurikan Atlantik khususnya menunjukkan peningkatan sangat luar biasa dalam intensifikasi pesat sejak 1980-an hingga awal tahun 2000 kerana aktiviti manusia yang menyebabkan fenomena perubahan iklim.
Saintis juga melihat perubahan paling ketara pada ribut terkuat yang menghasilkan hurikan berpotensi mengancam nyawa dan lebih berbahaya pada masa depan.