Parti KDM Putuskan Bergerak Solo Hadapi PRU-15

Parti KDM Putuskan Bergerak Solo Hadapi PRU-15

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) nanti.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata keputusan tersebut diambil berikutan parti dibawah pimpinannya itu tidak diterima sebagai rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Di peringkat parti, kita juga mempunyai perancangan. Oleh kerana mereka juga tidak menerima kita sebagai rakan dalam GRS walaupun kita mesra kepada kerajaan.

“Tetapi perjuangan kita kena teruskan kerana calon-calon kita telah bersedia untuk bertanding di Sabah…

“Kalau kita lihat ketika ini, kita terpaksa lakukan sedemikian kerana tiada hitam putih daripada GRS maka kita akan bergerak solo di dalam PRU-15 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas Majlis Makan Malam Solidariti Bersama Pemimpin KDM bertempat di Dewan Hakka, semalam.

Dalam pada itu, Peter turut memberitahu media pihaknya mengumumkan Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan akan mengumumkan baki senarai calon dalam masa terdekat.

Menurutnya, lebih 50 peratus calon yang bakal diketengahkan terdiri daripada wajah baharu.

Peter juga turut memberi gambaran terdapat sekurang-kurangnya empat calon dari parti KDM untuk kerusi Parlimen Sabah yang dikenal pasti bakal bertanding dalam PRU-15 kelak.