KIULU, SABAH – Kerjasama dan persefahaman antara pemimpin adalah penting untuk membawa perubahan yang membina dalam komuniti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.
Katanya, situasi ini dapat dilihat di Kiulu, di mana penduduk kampung telah mendapat manfaat daripada pertimbangan yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengenai keperluan mendesak komuniti di sini.
Beliau merujuk kepada penubuhan pejabat daerah kecil Kiulu yang dijanjikan oleh Hajiji sebagai respon kepada permintaan Joniston semasa pilihan raya negeri lalu.
“Kepimpinan memerlukan hubungan kerjasama dan persefahaman yang utuh…
“Masyarakat memerlukan pemimpin yang boleh menyuarakan keperitan rakyat dan berusaha untuk melaksanakan penyelesaian.
“Hubungan kerjasama persefahaman sebegini juga mesti dipupuk antara pemimpin muda dan senior bagi menyumbang idea dan penyelesaian baharu dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti,” kata Joniston pada program Anak Muda Peduli di Pekan Kiulu, pada Selasa.
Beliau turut berkata Kiulu juga bakal mempunyai pejabat sekretariat mini bagi menyalaraskan perkhidmatan pentadbiran dan meningkatkan kecekapan, sambil menambah Ketua Menteri dijangka melakukan majlis pecah tanah tidak lama lagi.
Katanya, perkara ini tidak mungkin dicapai sekiranya tidak wujud persefahaman di antara pemimpin.
Joniston turut menekankan kepentingan mempunyai toleransi dan kerja berpasukan antara pemimpin dan masyarakat dalam usaha membangunkan komuniti setempat.
“Di Kiulu, kami berkerja keras untuk membangunkan pelancongan luar bandar. Daripada hanya empat pengusaha pada 2014, kini terdapat lebih 70 pengusaha pelancongan desa yang aktif di kawasan ini.
“Ini adalah hasil daripada kerjasama komuniti yang sentiasa memberi galakan antara satu sama lain. Makandengan itu, Kiulu hari ini mempunyai kekuatan dalam pelancongan berasaskan komuniti yang contoh kepada negeri lain,” katanya.
Bercakap mengenai inisiatif Anak Muda Peduli, Joniston memuji usaha murni Kelab Bandar Belia Tuaran (TYTC) dalam membantu masyarakat Kiulu.
Anjuran TYTC dengan kerjasama Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, program ini bertujuan untuk menyokong komuniti luar bandar dengan mengenalpasti keperluan mereka.
Hadir sama Pengerusi TYTC Mohammad Ghazali Hajiji, di mana beliau menyerahkan sumbangan kanopi kepada peniaga Kiulu.
“Kami telah melaksanakan program ini sejak sebelum pandemik Covid-19. Dalam program terdahulu, kami menyerahkan sumbangan telefon pintar kepada pelajar di Kiulu.
“Kami berterima kasih kepada Datuk Joniston atas sokongan beliau dalam program murni ini dan kami berhasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat luar bandar,” kata Ghazali.





