GRS Terbuka Kerjasama Dengan Parti Lain Membentuk Kerajaan – Hajiji

GRS Terbuka Kerjasama Dengan Parti Lain Membentuk Kerajaan – Hajiji

0
SHARE

PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri bagi meneruskan pembangunan selain menyatu padukan rakyat Sabah.

Bagaimanapun, pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Hajiji ketika mengulas kenyataan Presiden Parti USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga merupakan antara parti komponen dalam GRS mengenai cadangannya bahawa GRS akan bertanding di semua kerusi berkata, beliau perlu memikirkan semua aspek termasuk rakan-rakan kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional.

“Itu cadangan beliau (Pandikar), kita belum buat keputusan lagi, kita kena fikir semua. Politik ini dan kawan-kawan kita dalam kerajaan ini terdiri daripada beberapa parti termasuk parti nasional PH dan juga sebahagian daripada BN. 

“Jadi apa yang baik adalah untuk kita sama-sama memikirkan untuk negeri kita supaya terus maju, membangun dan kita bersatu padu, itu hanya cadangan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah kali kedua di ITCC Penampang pada khamis.

Ketika ditanya sama ada kerjasama GRS dan PH wajar diteruskan, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, gabungan GRS-PH Plus yang ada ketika baik untuk diteruskan.

“Memang baik, kalau boleh kita gabung lagi dengan parti-parti lain supaya kita dapat membangunkan negeri kita bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan parti Warisan pula pula, Hajiji berkata, pihaknya masih memikirkan perkara itu dan belum membuat sebarang keputusan.

Terdahulu, Pandikar menyuarakan pendapatnya berhubung ketetapan GRS yang mempunyai tujuh komponen parti tempatan supaya bertanding atas kapasiti sendiri pada PRN Sabah Ke-17 nanti.

Beliau terlebih dahulu sudah menyatakan pendirian untuk bertanding sendiri sejak tahun lalu dan kali ini turut mendakwa, parti komponen seperti STAR dan SAPP turut sependapat dengan partinya.