PAPAR, SABAH – Rakyat Sabah tidak seharusnya membataskan diri sebagai ‘jaguh kampung’ disamping menganggap hanya jawatan Ketua Menteri sebagai jawatan tertinggi yang boleh mereka capai.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Sabah, Nicholas Sylvester berkata Malaysia dibentuk bersama Sabah sebagai rakan kongsi dalam Perlembagaan dan layak menjadi seorang Perdana Menteri (berdasarkan Perlembagaan).
“Sabah perlu berfikiran lebih terbuka. Kita tidak hanya fikir terhad untuk Sabah sahaja dimana jawatan paling tertinggi adalah Ketua Menteri.
“Kenapa kita harus teruja apabila ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM)? Bagi saya ini merupakan satu penghinaan. Adakah kita orang Sabah hanya layak menjadi TPM?
“Malaysia dibentuk oleh tiga rakan kongsi yang sama dan kita juga berhak menjadi Perdana Menteri bukan hanya jawatan nombor dua (TPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam kempen di Kampung Nagapas, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nicholas turut menggesa agar rakyat dan pemimpin Sabah harus berfikiran lebih terbuka dalam melihat lanskap politik Malaysia.
“Kita perlu berfikir mengenai politik Malaysia, tidak hanya semata-mata tentang politik Sabah…
“Kita harus bangkit, bersaing dan berjuang untuk tempat kita di Malaysia. Bukan hanya menjadi ‘jaguh kampung’ semata-mata dan hanya menjadi Ketua Menteri,” katanya.





