Kes COVID-19 Di Malaysia Terus Catat Penurunan

Kes COVID-19 Di Malaysia Terus Catat Penurunan

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kes positif baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan penurunan dengan 480 kes dilaporkan setakat malam tadi berbanding 609 kes sehari sebelumnya.

Memetik sumber Berita Harian, data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW merekodkan sebanyak 473 kes merupakan penularan tempatan manakala tujuh lagi adalah kes import.

Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan 5,023,999 kes sejak COVID-19 mula dikesan pada Januari 2020. Walau bagaimanapun, empat kematian telah direkodkan pihak KKM.

Setakat tengah malam semalam, statistik kematian adalah sebanyak 36,835 dengan 7,849 adalah kematian luar hospital (BID).

Selain itu, sebanyak 13,818 kes aktif dilaporkan dengan 12,888 atau 93.3 peratus menjalani isolasi di rumah dan 885 berada di hospital termasuk 20 yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) juga berada pada paras 66.7 peratus.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bilangan kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi Ke-51 (ME51/2022) dari 18 hingga 24 Disember merekodkan penurunan 18.7 peratus dengan 5,894 kes berbanding 7,249 kes pada minggu sebelumnya (ME50/2022).

Beliau berkata dalam tempoh tersebut, bilangan kes tempatan menunjukkan penurunan 18.7 peratus iaitu daripada 7,232 kes kepada 5,880 kes.

Katanya, pada ME51/2022, bilangan kes kematian turut berkurangan sebanyak 34 peratus iaitu 31 kes pada minggu itu berbanding 47 kes, minggu sebelumnya.