Annuar Musa Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Tiga Individu

Annuar Musa Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Tiga Individu

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa memfitnahnya berhubung isu penjualan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Menurutnya, terdapat beberapa kenyataan berunsur fitnah dipercayai dimuat naik dalam media sosial kepunyaan tiga individu terbabit sehingga menjejaskan imej dan reputasi beliau.

Tambahnya lagi, pautan sedemikian juga
memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak.

“Sejak tercetus polemik berhubung Menara KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh TM, telah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan.

“Setelah merujuk perkara tersebut serta meneliti secara mendalam bersama peguam, saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan Mohd Razlan Rafii.

“Ada juga yang membuat pautan tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenalpasti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar dalam pautan tersebut juga menyatakan beliau menyerahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada.

“Setiap perkara berbangkit, terutama yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib…

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya.