Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Bahan Api

Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Bahan Api

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah menahan sebuah bot penumpang yang membawa barang kawalan tanpa permit yang sah di perairan Sandakan, Khamis lepas.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan Op Pluto Timur disekitar perairan Sandakan telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, bot dengan enjin sangkut 200 kuasa kuda yang didaftarkan untuk tujuan membawa penumpang dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam bot seterusnya menemui 13 tong gas LPG 14 kilogram setiap satu dan 24 tong berisi 25 liter minyak petrol setiap satu tanpa permit yang sah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Katanya, kesemua barang kawalan beserta bot dan pemandu ditahan untuk siasatan lanjut manakala anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk barang kawalan, bot dan enjin sangkut sekitar RM35,000.

“Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Negeri Sabah,” katanya.