KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh telah ditemui dalam kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang, malam semalam.
Menerusi satu video berdurasi 56 saat yang tular di laman media sosial, kanak-kanak yang dikesan terbabit telah terkunci dalam kontena selama sekitar enam hari.
Difahamkan, kapal yang membawa kontena terbabit telah berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lepas.
Dalam video itu, kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan lemah tidak bermaya apa ila keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan.
Memetik sumber, menurut seorang daripada kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu.
Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.
Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut disamping turut menjalani proses dokumentasi.
Di samping itu, sumber turut memaklumkan kanak-kanak itu telah dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama pada Sabtu ini.





