TUARAN, SABAH – Pemandu sebuah Proton Saga Aeroback maut selepas kenderaan itu terbabas di tepi jalan dan melanggar sebuah rumah di Jalan Tenghilan berhampiran Kuburan Cina di sini tengah malam semalam.
Mangsa kejadian kira-kira 12.50 tengah malam itu dikenal pasti pasukan Bomba sebagai Asrulnizam Maugan berusia 30an.
Jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata beliau berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi keberbahayaan, operasi ditamatkan pada jam 2.05 pagi,” katanya.





