PENAMPANG, SABAH – Seorang pengedar dadah dicekup Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pebajat Polis (IPD) Penampang dalam sebuah serbuan di tepi Country Heights, sini, pada Selasa.
Turut dirampas dalam serbuan 2 petang itu ialah dadah disyaki jenis syabu seberat 99.34 gram yang bernilai lebih kurang RM19,860 di pasaran gelap.
Ketua Polis Penampang Supt Sammy Newton berkata suspek lelaki 19 tahun direman selama tujuh hari bermula Rabu.
“Suspek disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di tepi jalan. Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek menemui plastik hitam mengandungi sampul berwarna coklat.
“Sampul berisi dua plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih dadah tersebut,” katanya.
Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek mendapatinya positif dadah jenis methamphetamins dan amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.