RANAU, SABAH – Seorang pekerja binaan berusia 23-tahun disyaki patah tulang punggung setelah jatuh ketika bekerja di atas atap sebuah bangunan di KM 4 Gunung Kinabalu, sini, semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata mangsa lelaki terbabit telah jatuh sekitar 40 kaki dalam insiden kira-kira dua petang itu.
“Rawatan awal diberikan oleh Pasukan Mosar bersama anggota malim gunung serta Taman-Taman Sabah dengan memindahkan mangsa dari lokasi mangsa terjatuh.
“Pasukan bertindak memasang ‘cervial collar’ (alat pemegang leher) dan papan lapis di belakang punggung mangsa.
“Beliau yang berketurunan Suluk disyaki telah patah tulang punggung disebabkan terjatuh dalam keadaan terduduk,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Mangsa kemudian diusung turun ke Timpohon Gate dan dihantar ke Hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut lalu operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang.






