PBS Pilihan Rakyat Lumadan – Ruslan

PBS Pilihan Rakyat Lumadan – Ruslan

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) akan memastikan parti terus menjadi pilihan rakyat di Lumadan, kata naib presiden parti, Datuk Ruslan Muharam.

“Kita akan terus bekerja berlipat kali ganda untuk memastikan PBS terus menjadi pilihan di Lumadan,” katanya.

Berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bahagian PBS Lumadan ke-38 di Dewan Datuk Seri Panglima DUN Banir di sini, semalam, Ruslan berkata jumlah keseluruhan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-38 ini ialah seramai 1,881 orang.

“Ini merupakan satu jumlah yang besar. Manakala empat lagi Bahagian PBS yang turut mengadakan AGM bersama perwakilan masing-masing iaitu PBS Bahagian Membakut seramai 120 perwakilan, PBS Klias 105 perwakilan, PBS Sindumin 88 perwakilan dan PBS Bongawan 130 perwakilan”, katanya.

Tambahnya, kehadiran perwakilan beserta pemerhati dari PBS Lumadan seramai 1,438 orang membuktikan PBS semakin menjadi pilihan penduduk Lumadan.

Beliau juga menyeru agar setiap bahagian menambahkan jumlah keahlian agar kedudukan PBS semakin kukuh di Lumadan, Beaufort, Bongawan, Membakut, Klias dan Sindumin.

Disamping mengajak golongan belia untuk turut menyertai PBS, beliau berkata golongan belia merupakan tulang belakang parti dan merekalah yang akan menerajui parti pada masa hadapan.

“PBS adalah sebuah parti berbilang kaum yang semakin diterima oleh semua termasuk masyarakat Islam dan sebagai buktinya, di Lumadan penduduk majoritinya ialah Muslim,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata beberapa isu telah berjaya diatasi melibatkan masalah bekalan air paip bersih yang kini sudah 95 peratus dapat dibekalkan ke beberapa kampung sejak PBS menerajui Lumadan.

Selain itu, masalah sistem perparitan juga berjaya diatasi dalam kawasan Lumadan.

Selain itu katanya, antara lain yang telah diselesaikan ialah pembinaan menara telekomunikasi di tiga kampung yang melibatkan Kampung Karangan, Kampung Kababang dan Kampung Bangkalalak telah bermula dan akan beroperasi sepenuhnya pada Jun ini.

Turut hadir dalam mesyuarat terbabit, Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun; Ketua Wanita, Datin Masliana Ugau dan Ketua EXCO Pergerakan Pemuda; Christoper Mandut.