KOTA KINABALU, SABAH – Seorang wanita China yang mendakwa dirinya dicabul oleh jurulatih selam skuba (divemaster) ketika bercuti di Semporna pada Jumaat lalu hanya menjejaskan imej pelancongan Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, suspek berkenaan telah pun ditahan oleh pihak polis dan dikenakan reman selama empat hari.
“Walau bagaimanapun, insiden ini berlaku di luar kawasan Taman Pulau Sipadan dan Taman Marin Tun Sakaran di bawah pengurusan pihak Taman-Taman Sabah.
“Mangsa berumur 24 tahun adalah seorang wanita berwarganegara China yang telah membuat aduan tersebut di Ibu Pejabat Polis Semporna pada keesokan harinya
“Beliau mendakwa suspek telah mencium pipi beliau semasa aktiviti selam skuba,” katanya.
Christina berkata pihaknya berasa teramat kesal dengan insiden terbabit dan menyeru serta menggesa semua ejen pelancongan di negeri ini agar memainkan peranan.
“Berikan perkhidmatan yang berkualiti dan lebih bertanggungjawab dalam memastikan insiden sedemikian tidak berulang lagi lebih-lebih lagi apabila industri pelancongan mula kembali rancak selepas terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.





