PERMUDA Wadah Hubungkan Kerajaan, Belia

PERMUDA Wadah Hubungkan Kerajaan, Belia

0
SHARE
Arifin
Arifin (tengah) menerima cenderamata daripada Abqaree (tiga dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perintis Muda (PERMUDA) menjadi wadah menghubungkan kerajaan dengan golongan belia.

Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, penubuhan PERMUDA di bawah seliaan Majlis Belia Sabah (MBS) membuktikan kerajaan negeri menyantuni semua golongan belia.

“Jalinan kerjasama antara MBS dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menunjukkan kerajaan amat komited dalam membangunkan bakat dan potensi belia secara holistik.

“Saya percaya keterlibatan IPT awam dan swasta dalam program kerjasama ini dapat membantu kerajaan negeri menggali bakat dan potensi belia dalam usaha kerajaan negeri melahirkan belia unggul.

“Besar harapan saya agar melalui platform PERMUDA ini, MBS dapat mengetuai golongan belia IPT menyampaikan isu-isu semasa belia serta idea dan pandangan mereka kepada kerajaan negeri.

“Saya yakin pengalaman dan bimbingan ilmiah daripada IPT dapat membantu MBS merangka program berfokus sesuai dengan potensi belia di IPT mereka,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran PERMUDA di Wisma Wanita, pada Rabu.

Arifin turut berharap agar PERMUDA dapat menjadi sayap kepada Sekretariat Mahasiswa (SEMESTA) dalam mencapai matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Antara iltizam SEMESTA adalah untuk memastikan golongan mahasiswa mempunyai ruang untuk mencorak pembangunan modal insan SMJ.

“Oleh itu, saya percaya melalui PERMUDA, golongan belia mempunyai gelanggang intelektual terbuka yang diimarahkan dengan pelbagai aktiviti dan secara tidak langsung melahirkan belia unggul yang akan menerajui negeri tercinta kita di kemudian hari,” tambahnya.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan upacara menandatangani Surat Hasrat dan Sijil Kolaborasi Strategik oleh 12 IPT yang terlibat antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Kota Kinabalu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Hadir sama, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Tugas-tugas Khas, Sapdin Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun dan Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan. — JABATAN PENERANGAN SABAH