Pesawat Airbus320 Tergelincir di KKIA

Pesawat Airbus320 Tergelincir di KKIA

0
SHARE
Kkia
Aksi menyelamatkan mangsa pesawat oleh agensi penyelamat dan kesihatan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Memilih senario pesawat tergelincir semasa berlepas, Malaysia Airports Sdn Bhd menguji kecekapan pasukan penyelamat dalam Exercise Raja Udang 2.0 Kota Kinabalu International Airport (KKIA).

Pengurus Kanan KKIA, Jefry Ramli berkata selain memberi pendedahan kepada pasukan penyelamat mengenai tindak balas terhadap bencana, eksesais tersebut juga bertujuan menilai keberkesanan peralatan kecemasan semua jabatan yang terlibat khususnya bencana yang berlaku pada waktu malam.

“Latihan ini bertujuan menguji kecekapan dan juga pelan kecemasan lapangan terbang yang mana setiap lapangan terbang mempunyai pelan kecemasan mereka.

“Seramai 380 orang yang terlibat secara keseluruhan daripada 30 agensi terdiri daripada pelakon dan anggota penyelamat.

“Kali terakhir eksesais sebegini dilakukan di sini adalah pada tahun 2018 dan kali ini kita memilih senario pada waktu malam kerana kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa tidak kira siang atau malam dan kita mahu menilai kemampuan respon kita sekiranya sesuatu bencana berlaku pada waktu malam.

“Dengan adanya latihan ini, kami berharap sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau kekurangan kita dapat membaiki kelemahan dan penambahbaikan secara berterusan terhadap pelan kecemasan kita,” jelas beliau.

Program anjuran Malaysia Airports Sdn Bhd itu melibatkan seramai 380 anggota dari 38 jabatan dan agensi termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah.

Eksesais berskala penuh itu bermula 9.30 malam melibatkan kemalangan sebuah pesawat jenis Airbus320 yang tergelincir semasa berlepas disebabkan masalah teknikal.

Tambah beliau, simulasi berkenaan mampu mempersiapkan semua jabatan dan agensi yang terlibat agar lebih tangkas dan efisien dalam menguruskan bencana. — JABATAN PENERANGAN SABAH